Thursday, January 8, 2009

Tokoh Ulama Kelate

Marilah sama-sama kita mengenangkan kembali sejarah hidup mereka. Seramai dua belas orang tokoh telah dipilih. Kita mulakan dengan kisah dari seorang demi seorang.

TOK KENALI (1870 - 1933)

Tokoh ulama Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara ulama besar Semenanjung Melayu. Sezaman dengan Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah), Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Alim (Muar), Haji Mat Shafie Losong (Terengganu) dll. Guru pondok yang sangat dihormati, bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi bualan dan disebut ramai.

Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Haji Mohd. Yusoff Ahmad.


Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1305H – 1327H). Sangat alim dalam ilmu tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis kemasukan mata pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajian pondok (sebelum ini, tertumpu pada usuluddin, fiqh dan tasawuf sahaja).


Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tok Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis paling berwibawa – bukan sahaja di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan. Antara murid-murid jempolannya termasuklah : Hj. Mat Jebeng (kemanakannya), Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yusoff Padang Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato’ Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato’ Hj. Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot. Manakala dari luar Kelantan pula tersenarai pula nama-nama seperti Hj. Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato’ Hj. Hasan Yunus al-Azhari (Menteri Besar Johor), Dato’ Hj. Abdul Rahim Yunus (Mufti Kerajaan Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Hj. Osman Bukit Besar, Hj. Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj. Hasan Lampung, Hj. Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani).


Di samping itu, dua orang putera Tok Kenali sendiri – Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd. Saleh Kenali (menetap di Makkah) – juga tergolong ulama dan pendakwah yang berjasa besar.


Nyatalah rumusan yang menyebut Kelantan sebagai “Serambi Mekah” itu sangat terkait dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali.


Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bertepatan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian.





HAJI YAAKUB LORONG GAJAH MATI (1895 – 1956)

Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu pada suku kedua abad ke-20 Masihi. Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Haji Saad Kangkong, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Abdullah Tahir Bunut Payong, Haji Mat Jebeng, Haji Ahmad Batu Tiga Repek dll.

Nama lengkap tokoh ulama yang berkediaman di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu ini ialah Haji Yaakub bin Haji Ahmad.


Kerjaya awalnya bermula sebagai kerani di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1 April 1922, dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah (Sekolah Melayu Majlis) dengan gaji permulaan $20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di Kelantan ketika itu. Gajinya meningkat ke $28 sebulan. Seterusnya mulai 1 Januari 1940, bertukar ke Jami’ Merbau al-Ismaili (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940 ialah $34 dan beliau kekal berkhidmat di situ sehingga 1945.


Antara murid-murid harapannya tersenarailah nama-nama seperti Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan sekarang), Dato’ Hj. Ismail Yusoff (bekas Mufti Kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Hj. Syed Hasan Lemal, Tuan Guru Hj. Awang Nuh Beris Kubor Besar, Ustaz Wan Mohd. Saghir Kg. Baru, Pasir Pekan, Tuan Guru Hj. Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka) dan Tuan Guru Hj. Ahmad Osman, Hutan Palas, Bukit Keplu, Kodiang (Kedah).


Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama MAIK (seawal 1932) beberapa penggal.


Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad al-Azhari (pengembang tarekat Ahmadiyah di negeri Kelantan), tetapi kemudian mengubah sikap, iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadith di Kelantan.


Tuan Guru Haji Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu 6 Jamadilawal 1376 bersamaan 8 Disember 1956 dengan meninggalkan, antara lain, tiga orang putera yang dikenali ramai /div>



Dato’ Haji Che Husain (ahli perniagaan) – pewakaf Masjid al-Muttaqin di Lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda, Kota Bharu;

Hj. Hasan (pengasas Pustaka Aman Press, Kota Bharu);


Ustaz Yusoff Zaky @ Dato’ Sri Setia Raja (pengarang
terkemuka, pengasas Pustaka Dian, Kota Bharu).


HAJI ABDUL MALEK SUNGAI PINANG (1834 – 1934)

Tokoh guru pondok akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang seangkatan dengan Tok Mesir, Tok Ayah Kerasak, Haji Nik Mat Dagu dan Haji Ismail Pengkalan Paung. Rakan akrab Haji Abdul Latif Jalaluddin (Bilal Masjid Kayu Kota Bharu).


Nama penuhnya ialah Haji Abdul Malek bin Hasan. Lahir di Kg. Sungai Pinang, Tumpat sekitar 1834 dari kalangan keluarga yang sangat miskin. Menuntut ilmu di Patani dan kota suci Makkah selama 14 tahun. Beliau masyhur alim Quran dan kitab Jawi.


Selain mengajar al-Quran dan kitab Jawi beliau banyak terlibat dalam usaha membanteras amalan khurafat dan syirik, termasuk memuja kubur serta amalan ilmu sihir.


Di peringkat negeri pula, beliau turut tersenarai dalam panel ulama yang dijadikan pakar rujuk oleh Sultan Mansor Ibn Sultan Ahmad (dekad 1890-an) dalam menguatkuasakan undang-undang Islam seperti hukuman hudud kepada pencuri dan pembunuh (diarak keliling pekan), hukuman ta’zir kepada orang yang tidak berpuasa dan tidak menutup aurat (dilumur belaking).


Kebanyakan murid-muris Tuan Guru Haji Abdul Malek diberkati Allah dengan ilmu mereka serta berjaya melahirkan barisan pendidik pelapis pada zaman masing-masing. Antara murid-murid kenamaannya : Tok Jerulong @ Haji Mohd. Said Muhammad, Haji Samat Hasan Padang Chenok, Haji Che Mat Taib Pasir Pekan Hilir, Haji Ismail Musa Temangan, Haji Wan Abdullah Kg. Chap/Sungai Pinang, Wak Haji Khatib Ahmad Bemban/Binjai, Tok Kedah @ Haji Idris Penggawa Kangkong, Haji Mahmud Ali (Imam Kangkong), Haji Daud Saamah (bapa kepada Tuan Guru Haji Saad Kangkong), Haji Mohd. Akib Ismail Kg. Kelar, Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang. Tuan Guru Haji Abdullah Senik (pengasas Pondok Padang di Pasir Mas), Tuan Guru Haji Wan Ahmad Abdul Halim (pengasas Pondok Padang Jelapang), Tuan Guru Haji Abdul Rahman Osman (pengasas Pondok Selehong), Tuan Guru Haji Yusoff Abdul Rahman (pengasas Pondok Pulau Ubi), Haji Ibrahim Tok Raja (Mufti Kerajaan Kelantan) dan Haji Seman Sering (kemudian lebih terkenal dengan nama Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani).


Datuk kepada Dato’ Dr. Nik Safiah Karim (Profesor Adjung di Universiti Malaya) ini kembali ke rahmatullah di Sungai Pinang pada malam Rabu 11/12 Ramadhan 1353 bersamaan 18 Disember 1934.






HAJI ISMAIL PONTIANAK (1882 – 1950)


Tokoh ulama’ perantau. ‘Khatib Masjib Muhammadi dekad 1940-an yang paling popular. Lahir sezaman dengan Mufti Haji Idris , Dato’ Perdana Haji Nik Mahmud, Tok Seridik dan Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani. Nama penuhnya ialah Haji Ismail bin Abdul Majid, tetapi lebih dikenali dengan panggilan Haji Ismail Pontianak kerana lamanya beliau berkelana dan bermastautin di Pontianak (Kalimantan Barat), bahkan pernah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak – berkhidmat selama suku abad (1910 – 1935).


Meskipun demikian, Haji Ismail akhirnya kembali menetap di Kelantan. Kerjaya awal tokoh lepasan Makkah ini dalam perkhidmatan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bermula pada 1 Januari 1940 apabila beliau dilantik menjadi guru kitab di Jami’ Merbau al-Ismaili dengan gaji permulaan $47.50 sebulan. Selanjutnya, beliau dipilih menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK (10 April 1940 hingga 8 Februari 1947). Selain daripada itu, dilantik sebagai Penterjemah Arab (semenjak 1 Julai 1941).


Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 Mei 1943 apabila beliau dilantik menjadi Khatib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Berbeza dengan tok-tok khatib sebelumnya yang masih terikat dengan nota atau teks Arab sepenuhnya, Haji Ismail memperkenalkan khutbah tanpa teks di tangan. Kepetahan beliau menyampaikan khutbahnya secara spontan, dalam bahasa ibunda pula, terbukti sangat berkesan. Walaupun khutbahnya agak panjang, tetapi ahli jemaah tidak bosan. Ini kerana beliau bijak menyusun kata, pandai menyelit ungkapan bahasa “segar”, bersesuaian dengan suasana yang mampu membuat sidang hadirin tidak jemu atau mengantuk. Beliau bukan sahaja popular di kalangan ahli jemaah dan anak-anak muridnya, malah sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim sehinggalah dilantik menjadi guru agama merangkap Imam di Istana baginda.


Khatib panutan ini meninggal di rumahnya, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tengah malam Isnin 18 Muharram 1370 bersamaan 19 Oktober 1950 dan dikebumikan di Kg. Labok, Machang – kampung asalnya.


Satu-satunya pusaka penulisan beliau yang diketahui sempat dicetak edar ialah Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia (cetakan pertama 1938), setebal 320 muka iaitu sebuah karya “bunga rampai”.


- Ismail Che Daud






HAJI ALI PULAU PISANG (1899 – 1968)


Salah seorang guru pondok pertengahan abad ke-20 yang paling ternama di Kelantan. Murid harapan Tok Kenali terkanan yang mewarisi ilmu tatabahasa Arabnya. Seangkatan dengan Haji Abdullah Tahir Bunut Payong, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Saad Kangkong, Haji Awang lambor dan Haji Awang Serendah. Rakan akrab Ayah Chik @ Lebai Omar Kubang Tuman.


Nama penuh tokoh ulama’ kelahiran mukim Pulai Pisang, daerah Badang, Kota Bharu ini ialah Haji Mohd. Ali Solahuddin bin Awang. Ibunya bernama Wan Kalsom. Beliau adalah anak ketiga daripada 9 beradik.


Selain Tok Kenali, guru-guru tempatan lainnya termasuk juga Haji Abdul Malek Sungai Pinang, Haji Yusoff Sungai Pinang (kemudian lebih dikenali dengan nama Tok Pulai Ubi), Tok Kemuning (di Pulau Kundor), Haji Omar Sungai Keladi, Pak Chik Musa, Haji Yaakub Legor dan Haji Ahmad Hafiz.


Namanya “timbul” kerana kealimannya dengan ilmu soraf (cabang tatabahasa Arab) sehingga digelar “Tok Sibaweh”. Tidak hairanlah jika Madrasah al-Falah (nama rasmi Pondok Pulau Pisang) yang dibangunkan beliau di Telok Chekering, Pulau Pisang senang menjadi tarikan para pelajar pondok. Sementelahan pula seawal 1932 lagi, Haji Ali dipilih menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang dipengerusikan oleh Dato’ Haji Ahmad Maher al-Azhari (Mufti Kerajaan Kelantan).


Berikutan dengan kematian Haji Saad Kangkong (1943), beliau dipinjam sebagai guru agama Kelas Khas di Jami’ Merbau al-Ismaili (pusat pengajian ilmu-ilmu Islam berbentuk sekolah pertama di Kelantan) yang menampung ramai pelajar elit dari dalam dan luar Kelantan pada awal dekad 1940-an; berkhidmat sehingga 1 Mac 1946. Selepas itu kembali semula ke kampus Masjid Muhammadi.


Antara murid-murid jempolannya Dato’ Haji Ismail Yusoff (Mufti Kerajaan Kelantan), Ustaz Dato’ Yusoff Zaki Yaakub (pengarang terkemuka dan penterjemah Tafsir fi Zilal al-Quran, Ustaz Ismail Yusoff (Imam Waktu Masjid Muhammadi), Ustaz Wan Mohd. Saghir Wan Konok Pasir Pekan, Ustaz Azhari Abdul Rahman Melor, Hj. Abdul Aziz dan Hj. Mustafa Pasir Tumboh, Hj. Zakaria Selising, Hj. Daud Geting, Hj. Daud Perakap, Hj. Nik Daud Tanah Merah, Hj.Wan Abdul latif Jerteh, Hj. Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka), Hj. Abdul Rashid Bagan Datok Perak dan Hj. Abdullah Abbas Nasution Tanjung Pauh (Kedah).


Ulama’ kesayangan Dato’ Mufti Haji Ahmad Maher ini kembali ke rahmatullah di kediamannya di Kg. Limau Putenge, Pulau Pisang pada pukul 7.05 pagi Khamis 11 Rejab 1388 bersamaan 3 Oktober 1968 dengan meninggalkan dua buah karya bercetak yang mengupas tentang ilmu soraf dan terjemahan Surah Yasin.


-Ismail Che Daud






TOK SELEHONG (1872 – 1935)


Tokoh Guru Pondok paling terkemuka di Jajahan Tumpat selepas zaman Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Seangkatan degan Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Seridik dan Tok Kemuning.


Nama sebenarnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Osman. Kadang-kadang dipanggil juga dengan nama Haji Abdul Rahman Syair atau Tok Syair kerana kepandaiannya mengarang syair.


Seorang daripada guru awalnya tentulah Haji Abdul Malek Sungai Pinang yang berdekatan dengan kampungnya. Kemudian menyambung belajar di Pondok Cha-ok, Patani berguru dengan Tok Cha-ok @ Haji Abdullah bin Mohd. Akib. Akhir sekali pergi mendalami pengajian di kota Makkah – berguru dengan Pak Chik Wan Daud Patani, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Shafie Kedah dan ramai lagi.


Selepas 18 tahun bermukim di tanah suci Makkah, pulang ke tanah air (1921) lalu mengasas pusat pengajian pondok sendiri di pinggir Sungai Selehong. Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu. Bidang ilmu yang sangat ditumpukannya ialah ihsanuddin atau tasawuf dengan Syarh Hikam Ibn Ata’Allah sebagai teks utama.


Tok Guru Selehong masyhur sebagai ahli sufi yang zahid. Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada dunia, beliau menggali sebuah lubang khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran Pondok Selehong yang dijadikannya semacam kamar khusus tempat beliau beribadat dan bersuluk.


Hobi tok guru yang pandai bersilat ini pun agak aneh. Beliau bukan sahaja sering keluar memikat ikan dan berburu rusa, malahan meminati haiwan yang cantik-cantik seperti kuda, biri-biri jantan, ayam jantan laklung persis orang pilihara ayam serama zaman kini.


Bapa mertua kepada Tuan-tuan Guru Haji Ahmad Bat Tiga Repek dan Haji Awang Beta ini kembali ke rahmatullah pada jam 8.30 malam Khamis 18 Zulkaedah1353 bersamaan 20 Februari 1935 dan dikebumikan di Kubor Selehong, Tumpat.


Kegiatan dakwah Islamiahnya diteruskan oleh murid-muridnya hingga ke hari ini. Antara yang masyhur termasuklah Pak Chu Che Abbas Kelong, Haji Yaakub Kelong, Haji Pak Man Berangan, Haji Che Mamat Kok Keli., Haji Awang Lambor, Haji Yaakub Wakaf Bharu, Haji Abdul Rahman Dalam Pator, Haji Abdul Rahman Tendong, Hj. Abdul Rahman Pohon Tanjung, Hj. Abdullah Tal Tujoh, Hj. Che Mat Padang Upeh, Hj. Abdul Aziz Kg. Tujoh, Hj. Mat Bola Geting, Hj. Saleh Pedada Bunohan, Pak Su Wil Kg. Dangar, Hj. Abdul Kadir Gaal, YB Hj. Muhammad Batu Hitam dan Hj. Wan Abdul Latif Jerteh (Terengganu).


- ISMAIL CHE DAUD






HAJI ABDULLAH TAHIR BUNUT PAYONG (1897 – 1961)


Salah seorang ulama besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal ke seluruh Semenanjung itu. Seangkatan dengan Haji Ali Pulau Pisang, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Saad Kangkong, Haji Ahmad Batu Tiga Repek, Haji Saleh Pedada dll.


Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897, Bapanya, Haji Ahmad bin Mohd. Zain yang berasal dari Kg. Chepa, Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai Imam Tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920).


Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Said al-Yamani, Syeikh Mohd. Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.


Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang diberi nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok Semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.


Di Pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang keras lagi tegas.


Kerana kegigihannya yang sedemikian maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Husain Rahimi, Hj. Nik Man Sungai Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumboh, Hj. Ismail Padang Lepai, Hj. Abdullah Kok Lanas, Hj. Omar Kubang Bemban, Hj. Abdul Rahman Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor Teliar, Hj. Saulaiman Siram, Hj. Daud Bukit Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulai Chondong, Hj. Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj. Ahmad Kodiang, Hj. Yahya Joned Gurun, Hj. Ibrahim Bongek, Hj. Abdul Wahid Sungai Udang, Hj. Husain Umbai, Hj. Ahmad Relai, Hj. Hasanuddin Berhala Gantang, Hj. Ismail Phuket, Hj. Ghazali Mundok.


Kerana ketokohannya juga beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan beberapa penggal (seawal 1932).


Kematian Fuqaha’ ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya.


- ISMAIL CHE DAUD






HAJI DAUD BUKIT ABAL (1906 – 1976)


Syeikh tarekat Ahmadiyah terpenting di rantau ini selepas generasi Mufti Haji Wan Musa/Sidi Muhammad al-Azhari/Syeikh Mohd. Said Linggi. Adik kandung Tuan Guru Haji Mat Limbat/Gong Kemudu.


Nama penuh ahli sufi ini ialah haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi. Lahir di Kg. Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar 1903. Ibunya, Wan Halimah bt. Hj. Ismail ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Ismail (lebih terkenal dengan panggilan Haji Awang Limbat). Manakala bapanya, Haji Omar bin Haji Taib berasal dari Kg. Mentera, Bukit Marak.


Antara guru-guru awalnya : Haji Ahmad Limbat, Haji Sulaiman Kubang Kachang, Tok Kenali, Tok Seridik, Haji Omar Sungai Keladi, Haji Nik Abdullah Khatib, Yaakub Legor dan Maulana Tok Khurasan.


Di kota Makkah pula, antara lain beliau mendalami pengajiannya dengan Syeikh Omar Hamdan, Syeikh Mohd. Ali al-Maliki, Syeikh Hasan al-Masyat, Syeikh Hasan al-Yamani, Syeikh Muhammad al-Azhari dan Syeikh Mohd. Shafie Kedah (Tok Shafie). Kedua-dua penama akhir inilah yang banyak mencurahkan amalan tarekat Ahmadiyah (termasuk ilmu ihsanuddin) kepadanya.


Setelah kembali dari Makkah pada awal 1941, beliau berkebun sambil mengajar agama dibeberapa tempat. Akhir sekali pulang menetap di Bukit Abal, Pasir Puteh lalu berusaha menghidupkan semula sekolah pondok peninggalan bapa mertuanya, Haji Awang Limbat.


Peringkat awalnya kurang mendapat sambutan – mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968 barulah majlis ilmunya mula mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu usuluddin, furu’uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus kepada pengalaman zikir tarekat kemudiannya terbukti sangat popular. Untuk kemudahan murid-muridnya beliau mengulang cetak karyanya sendiri, iaitu Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1956); dan pada awal 1970-an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya.


Tuan Guru Haji Daud meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju, iaitu pada pukul 2 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976.


Warisan ilmunya kini disebarkan pula oleh tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Haji Ghazali Tunjong, Pak Da Awang kampong Pek, Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi (pengarang buku Mengenal Diri dan Wali Allah yang sangat popular itu). Ustaz Wan Hasan Muhammad Bukit Tanah (ahli Jemaah Ulama MAIK), Drs. Abdul Rahman Haji Ahmad (Timbalan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan) dan Prof Dr. Hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam).


- ISMAIL CHE DAUD






HAJI AWANG LAMBOR (1900 – 1963)


Salah seorang guru pondok yang paling berpengaruh di Jajahan Tumpat pada pertengahan abad ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Haji Mohd. Saleh Pedada, Haji Yaakub Kelong, Haji Daud Geting dan Haji Pak Man Berangan. Nama sebenar tokoh ulama’ yang dilahirkan di Kg. Padang Merbau, Lambor, Wakaf Bharu sekitar 1900 ini ialah Haji Abdullah bin Haji Omar.


Bapanya Haji Omar bin Haji Abdul Rahman – lepasan pondok di Patani – ialah seorang Khatib di surau mukim Jal Kecik, juga adik kepada Haji Yusoff bin Haji Abdul Rahman, Imam Tua mukim Meranti di Jajahan Pasir Mas.


Datuknya, Haji Abdul Rahman yang berasal dari Kota Bharu Reman adalah Imam perintis di surau mukim Jal Kecik.


Beliau sendiri bersepupu dengan Hajjah Zainab bt. Hj. Yusoff yang kemudiannya menjadi isteri kepada Tuan Guru Haji Mohd. Zain Meranti, guru awalnya. Seorang sepupunya lagi ialah Haji Ahmad bin Haji Yusoff, Imam mukim Meranti yang meninggal dunia pada 21 Ogos 1961. Juga bertalian dua pupu dengan Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ali, Kg. Jalah, Bunut Susu (meninggal 2 Ogos 1931).


Manakala Pak Chu Haji Mat Saman bin Haji Abu, guru al-Quran ternama di kawasan Lambor/Kubang Batang sebelum Bah Air Merah (1926) itu pula ialah abang iparnya.


Kerana latar belakang keluarga yang sedemikian maka tidak hairanlah jika beliau sudah mula terdedah kepada pengajian asas agama sejak kecil lagi.


Selepas menuntut beberapa ketika dengan Tok Kenali dan Tok Selehong beliau pergi menamat di kota Makkah selama 9 tahun lagi. Barisan gurunya termasuk Syeikh Omar Hamdan, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Senggora, Tok Shafie Kedah, Pak Cik Wan Daud Patani, Haji Sulong Patani, Pak Da Ail Patani dan Syeikh Muhammad bin Syeikh Nik Dir Patani.


Pada 1934, pulang ke Kelantan iaitu mendirikan Pondok Lambor yang telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Haji Mat Nor Rushdi Haji Awang Gagah (pengasas Pondok Tasat di Legor, Thailand). Haji Wan Mat Wan Saleh (pendiri Pondok Paya Ular di Bunut Susu), Haji Mohd. Nor Haji Abdullah (guru Pondok Teliar), Pak Su Che Wil Haji Abdul Rahman (Imam Tua mukim Delima), Pak Su Loman (Imam Bunut Susu), Haji Yaakub Awang, Kg. Jelutong, Gunong, Bachok dan Haji Che Wil Abdul Latif, Kg. Meranti Besar.


Tuan Guru Haji Awang Lambor berpulang ke rahmatullah pada pukul 3 petang Sabtu 27 Zulkaedah 1382 bertepatan 20 April 1963 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pondok Lambor, Wakaf Bharu.


- Ismail Che Daud






MUFTI HAJI WAN MUSA (1875 – 1939)


Ahli tasawuf berpendirian tegas. Bergiat sezaman dengan Tok Selehong, Haji Che Leh Kg. Laut, Tengku Mahmud Zuhdi (Syeikhul Islam Selangor). Putera kedua Tuan Tabal dan adik kandung Mufti Haji Wan Muhammad, juga abang kepada Haji Nik Abdullah Khatib. Nama penuhnya ialah Haji Wan Musa bin Haji Abdul Samad. Bapanya, Haji Abdul Samad bin Mohd. Saleh al-Kalantani (lebih masyhur dengan gelaran Tuan Tabal) ialah penyebar perintis tarekat Ahmadiyah di rantau ini, juga tergolong ulama pengarang yang banyak menulis kitab Jawi – terpentingnya Minhat al-Qarib (1883).


Haji Wan Musa adalah seorang rakan seperguruan Tok Kenali, terkenal dengan fikiran-fikiran yang berani tetapi kontroversi. Namun, beliau terpilih dan ditawarkan jawatan Mufti Kerajaan Kelantan selepas pengunduran Mufti Haji Wan Ishak pada awal 1909.


Sikapnya yang tegas serta pandangan-pandangannya yang cenderong kepada reformasi telah menyeret beliau ke kanchah pertelagahan pendapat dengan tokoh-tokoh “Kaum Tua” seperti Haji Omar Sungai Keladi, Haji Ibrahim Tok Raja, Haji Ismail, Haji Ismail Kemuning dan Haji Ahmad Abdul Mannan. Di luar Kelantan pula, beliau pernah berpolemik dengan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani – penulis Tazkiyat al-Anzar (1920) yang menghujah balas pendapat Haji Wan Musa.


Antara persoalan kontroversi yang berbangkit sehubungan dengan pendapat beliau ialah isu membina masjid dengan harta zakat fitrah, hal muqaranah sembahyang, talqin, kain telekung sembahyang, talfiq mazhab, pemindahan harta wakaf/pusaka dan perbahasan jilatan anjing. Keyakinannya kepada pendapat-pendapat yang pernah diluahkannya serta pertelingkahannya yang lama dengan tokoh-tokoh “Kaum Tua” menyebabkan beliau melepaskan jawatan Mufti pada pertengahan 1916.


Sebagai tokoh berwibawa, halaqat pengajian kitab di suraunya di Jalan Merbau, Kota Bharu berjaya melahirkan ramai pendakwah pelapis yang mampu mengajar baik di sekolah pondok mahupun di sekolah moden. Mereka termasuk Hj. Saad Kangkong, Pak Su Wan Adam Kg. Laut, Hj. Mohd. Zain Meranti, Hj. Nik Mat Alim Pulau Melaka, Hj. Abdul Mannan Sumatera, Hj. Abdul Wahid Melaka, Hj.Ahmad Perak dan Hj. Ayyub Kemboja. Putera-putera beliau sendiri pun tergolong alim ulama’ yang disegani. Antara tokoh-tokoh yang dimaksudkan ialah Hj. Nik Abdullah, Hj. Nik Mat Nazir, Hj. Nik Mud, Hj. Nik Leh dan Hj. Nik Mat Din. Pusaka lainnya ialah dua risalah terjemahan yang selesai disusun seawal 1906 lagi.


Mufti Haji Wan Musa kembali ke alam baka pada 3.00 petang Sabtu 24 Zulkaedah 1357 bertepatan 14 Januari 1939 dan dikebumikan di tanah perkuburan Kg. Banggol, Jalan PCB, Kota Bharu.


- Ismail Che Daud






HAJI SAAD KANGKONG (1893 – 1943)


Imam waktu perintis di Masjid Besar Kota Bharu. Guru kitab Arab paling muda di Halaqat Kitab Masjid Muhammadi. Rakan setugas Haji Yaakub Legor dan Haji Yaakub Lorong Gajah Mati.


Nama penuhnya ialah Haji As’ad bin Haji Daud, berasal dari Kg. Kangkong, Pasir Mas.


Beliau tidak jemu-jemu belajar dan mengajar, semenjak muda sampai tua. Guru-guru utamanya termasuk Tok Kenali, Haji Ahmad Hafiz, Mufti Haji Wan Musa dan anaknya, Haji Nik Abdullah. Juga disebut-sebut pernah menuntut di Makkah selama tujuh tahun.


Apabila pentadbiran Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) memperkenalkan jawatan Imam Sembahyang Waktu di Masjid Besar Kota Bharu (sekarang Masjid Muhammadi), beliau terpilih sebagai penyandang pertamanya – berkhidmat mulai 19 Jun 1927 hingga 31 Disember 1930, bergaji $15 sebulan.


Sepanjang dasawarsa 1930-an beliau bertugas sepenuh masa sebagai guru kitab Arab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu), bergaji $30 sebulan dan meningkat ke $40 apabila bertukar ke Jami’ Merbau al-Ismaili (sejak awal 1941).


Haji Saad menggalakkan murid-muridnya supaya membaca akhbar dan majalah bagi menambah ilmu pengetahuan. Antara murid-murid kenamaannya termasuk Dato’ Haji Ismail (Mufti Kerajaan Kelantan), Haji Abdul Rahman Lubok Tapah, Haji Nik Man Sungai Budor, Haji Awang Beta, Haji Yusoff Tasek Berangan, Haji Nik Daud Tanah Merah, Haji Osman Padang Siam, Haji Ibrahim Apa-Apa, Haji Ismail Kg. Talak, Haji Che Mat Padang Upeh, Haji Yaakub Wakaf Bharu, Haji Abdullah Kg. Laut, Hj. Abdullah Aur China, Haji Abdullah Gemuk, Hutan Pasir, Hj. Mohd. Amin Tok Bachok (Qadhi), Haji Mustapha Idris (pesara Timbalan Qadhi Besar Kelantan), Ustaz Haji Wan Ahmad Kg. Menuang, Haji Yaakub Kg. Sireh (Pegawai Agama MAIK), Haji Abdul Shukor Kubang Gendang (kemudian menjadi menantunya), Haji Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka), Haji Husain Hafiz Umbai (Melaka), Ahmad Zaini Haji Tahir Asahan (Sumatera) dan Haji Shuaib Ahmad Pulau Kerengga, Marang (Terengganu).


Sebagaimana rakan-rakan seperjuangannya beliau turut dilantik menjadi Ahli (Mesyuarat) Majlis Agama Islam Kelantan (1940).


Tuan Guru Haji Saad Kangkong ditakdirkan meninggalkan dunia secara mengejut di rumahnya sekitar jam 11.00 pagi 22 Jamadilakhir 1362 bersamaan 26 Jun 1943.


Bakat beliau dalam kegiatan dakwah kini diwarisi cucunya, Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor (pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya).


- Ismail Che Daud






SHEIKH OSMAN JALALUDDIN AL-KALANTANI (1880 – 1952)


Salah seorang guru pondok dan ulama’ pengarang tersohor di Semenanjung Melayu pada suku kedua abad ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Tok Seridik, Haji Ismail Pontianak, Haji Omar Banggol Kulim, Dato’ Perdana, Haji Mat Jebeng. Beliau bukan sahaja terkenal di Kelantan dan Pulau Pinang, tetapi juga terbilang di Makkah.


Nama penuh tokoh ulama kelahiran Kg. Panjang, daerah Sering di sempadan jajahan Kota Bharu/Bachok pada penghujung 1297H/1880M ini ialah Haji Osman bin Muhammad. Lantaran itu pada peringkat awalnya beliau lebih dikenali dengan panggilan Haji Seman Sering.


Beliau termasuk dalam kumpulan murid kesayangan Tok Kenali. Juga pernah berguru dengan Haji Jamaluddin Perupok dan Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Di Makkah pula, beliau sering mendampingi Tuan Mukhtar Bogor (Syeikh Mohd. Mukhtar bin Atarid) yang ternama itu.


Namanya mula “timbul” selepas kejayaan beliau mendirikan Madrasah Manabi’ al-Ulum (1932) di Penanti, Bukit Mertajam. Madrasah ini kemudiannya muncul sebagai pusat pengajian pondok yang paling maju di Seberang Perai, khususnya pada dasawarsa 1930-an dan 1940-an.


Sebagai pendidik yang dedikasi beliau banyak menghasilkan karya sendiri dan terjemahan. Syeikh Osman bukan sahaja berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu karangan, tetapi juga selalu memilih topik yang berkait rapat dengan persoalan yang dihadapi oleh masyarakat. Kitab al-Durrat al-Nafi’ah (Alamat Kiamat) karangannya meletakkan beliau sebagai sasterawan Islam yang berpandangan jauh kerana ia dianggap buku berbahasa Melayu paling terperinci membicarakan perihal tanda-tanda dunia hampir kiamat.


Di samping itu Syeikh Osman kerap berulang-alik ke Makkah dan diberi kepercayaan mengajar di Masjid al-Haram. Sebab itu muridnya ramai. Mereka termasuk Hj. Abdul Rahman Sungai Durian, Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Abdullah Lati, Hj. Abdullah Kg. Laut, Hj. Hassan Ketereh, Hj. Abu Bakar Tiu, Hj. Mohd. Ibrahim Akibi Pulau Pinang, Hj. Ismail Merbok, Hj. Husein Umbai, Hj. Abdul Ghani Kubang Bemban dan antara yang masih ada lagi ialah Ustaz Abdul Kadir Kamaluddin (lahir 1921), Ketapang Tengah, Pekan, Pahang.


Tokoh yang amat mementingkan istiqamah dan disiplin diri ini ditakdirkan meninggal di tanah suci Makkah waktu fajar hari Jumaat 30 Zulhijjah 1371 bersamaan 19 September 1952.

Monday, December 15, 2008

Apabila Zina lebih mudah daripada Kahwin

Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi dan seterusnya pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-keranah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.

Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya.

Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan.

Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:

“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam ertikata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; “kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.

Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf.

Nabi s.a.w. bersabda:

“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.

Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga generasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan.

Malangnya, kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakut dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.

Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.

Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut “saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.

Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:

“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi: Bab Iza Qala al-Khatib li al-Wali Zawwijni Fulanah, faqala qad Zauwajtuka bi Kaza wa Kaza, Jaza al-Nikah Wa In Lam Yaqul li al-Zauj Aradita au Qabilta, maksudnya: Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”.

Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Apa yang penting proses ijab dan qabul amatlah mudah. Ia adalah lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.

Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut:

“Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).

Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.

Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa.

Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu Iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah al-Baqarah, ayat 231).

Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi mahkamah yang bernama syariah.

Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan. Kata Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut:

“Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in” (al-Mufassal, 7/217).

Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.

Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah:

“Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (ibid 8/439).

Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk kebahagiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumahtangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah biorokrasi mahkamah. Hakim barang kali ringan lidahnya menyebut: “kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri.

Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagian dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.

Saturday, September 20, 2008

Warisan

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta lenyap di arus zaman.

Indahnya bumi kita ini,
Warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain,
Peribumi merintih sendiri.

Kita rumpun bangsa Melayu,
Menganut agama yang suci,
Semangat bangsa berlandaskan Islam,
Teras capai kemerdekaan.

Masa depan sungguh kelam,
Kan lenyap peristiwa semalam,
Tertutuplah hati terkunci mati,
Maruah peribadi dah hilang.

Kini kita cuma tinggal kuasa,
Yang akan menentukan bangsa,
Bersatulah hati, bersama berbakti,
Pulih kembali harga diri.

Kita sudah tiada masa,
Bangunlah dengan gagah perkasa,
Janganlah terlalai teruskan usaha,
Melayu kan gagah di nusantara.

Menabung

Oleh Orang Ringgit Apakah sukar untuk mengamalkan tabiat baik menabung? Sebenarnya tidaklah terlalu susah, malah amat mudah! Orang Ringgit kami menemu bual beberapa orang untuk mendapatkan panduan yang baik mengenai tabiat menabung dan panduan itu ingin dikongsi bersama di sini.

#1: Berhenti merokok "Saya berhenti merokok sejak pengumuman harga baru rokok. Saya berjaya menjimatkan RM20 seminggu."
--Mohammed, Pengawal Kredit. Umur: 28 Orang Ringgit: Usia lebih panjang dan dapat menjimatkan RM1,040 setahun!

#2: Bawa bekalan ke tempat kerja "Biasanya saya bawa bekalan makan tengah hari ke tempat kerja tiga kali seminggu. Saya dapat berjimat kira-kira RM30 seminggu."
--Soh Guat Ha, Akauntan. Umur: 36 Orang Ringgit: Bawa bekalan makan tengah hari dari rumah dan anda boleh menyimpan RM1,560 di bank tahun depan!

#3: Cuci kereta sendiri "Mengapa hantar kereta untuk dicuci jika anda ada masa untuk melakukannya sendiri pada hujung minggu? Pengusaha tempat cuci kereta mengenakan bayaran RM9 sekali cuci – ini bermakna anda boleh menjimatkan RM36 sebulan dengan mencuci sendiri kereta anda. Kerja mencuci itu pun satu riadah juga dan untuk senaman yang lebih baik lagi, cubalah kilatkan sendiri kereta."
--Khairi, Eksekutif Pembangunan Perniagaan. Umur: 26 Orang Ringgit: Mencuci dan mengilatkan sendiri kereta anda membolehkan anda menabung RM1,872 setahun yang lama kelamaan menjadi lebih banyak.

#4: Beriadah di rumah "Saya telah membatalkan keahlian saya di sebuah kelab kesihatan. Saya jarang pergi ke sana untuk beriadah. Saya sudah mula bersenam di rumah. Sebagai sebahagian daripada kegiatan riadah, saya berjalan di sekitar kawasan perumahan saya selama 30 minit sehari. Jumlah yang dapat dijimatkan? RM180 sebulan."
--Mahinder Kaur, Juruteknik IT. Umur: 25 Orang Ringgit: RM180 sebulan selama 12 bulan – akaun simpanan anda bertambah kukuh dalam masa setahun. Anda akan ada RM2,160 dalam akaun itu.

#5: Bayar bil kredit kad pada masanya "Sentiasa bayar kad kredit anda pada masanya untuk mengelakkan membayar denda RM5 kerana pembayaran lewat. Kalau boleh, selesaikan baki kad kredit secepat mungkin untuk mengelakkan caj faedah yang tinggi."
--Ahmad Kamal, Pengatur cara. Umur: 23 Orang Ringgit: Siapa cepat dia dapat. Membayar bil pada masanya dapat menjimatkan RM60 setahun.



Sepuluh Tabiat Mudah Menabung
Oleh Orang Ringgit

#6: Ajar anak anda sendiri "Saya mempunyai tiga orang anak yang sedang bersekolah, berusia antara tujuh hingga 11 tahun. Saya ajar mereka sendiri daripada menghantar mereka ke pusat tuisyen. Saya dapat jimatkan kira-kira RM360 sebulan."
--Puan Kannan, penulis bebas. Umur: 42 Orang Ringgit: Sambil menyelam minum air. Ajar anak anda sambil habiskan masa berkualiti bersama mereka dan anda dapat menabung RM4,320 setahun untuk perbelanjaan mereka di kolej nanti.

#7: Lepak di gerai "teh tarik" daripada di restoran yang mahal "Dulu saya dan kawan-kawan saya suka melepak di restoran yang trendy pada hujung minggu dan kami menghabiskan hampir RM50 setiap minggu. Sekarang, kami lepak di gerai teh tarik dan membelanjakan hanya RM10 seminggu.
--Sofiana, pelajar. Umur: 18 Orang Ringgit: Belilah barangan tempatan dan jimatkan RM2,080 setahun.

#8: Kurangkan penggunaan elektrik "Keluarga saya sentiasa cuba mengurangkan penggunaan elektrik di rumah kami. Kami gunakan jangka masa untuk alat hawa dingin dan matikan lampu dan barangan elektrik jika tidak digunakan. Kami berjaya mengurangkan bil elektrik daripada RM230 kepada RM120 sebulan."
--Puan Cheah, suri rumah. Umur: 47 Orang Ringgit: Gunakan bahan tenaga dengan lebih cekap dan tambah simpanan anda kepada RM1,320 setahun.

#9: Rancang pembelian barangan dapur "Apabila saya membeli barangan dapur, saya sentiasa berbelanja melebihi jumlah yang diperuntukkan dengan membeli keropok, minuman dalam tin dan gula-gula. Tahun ini, saya berusaha untuk mengikut senarai yang saya buat dan berjaya menjimatkan RM80 sebulan."
--Dina, penjual bunga. Umur: 33 Orang Ringgit: Ikut senarai beli-belah yang anda buat dan jimatkan RM960 setahun.

#10: Jelaskan bil anda menggunakan kemudahan dalam talian "Saya bayar hampir kesemua bil saya menggunakan kemudahan Internet. Saya dapat menjimatkan RM5 duit pos, RM65 bayaran letak kereta dan minyak sebulan."
--Rajesh Nair, Jurutera Perisian. Umur: 28 Orang Ringgit: Gunakan kemudahan membayar bil dalam talian dan jimatkan RM840 setahun. Tetapi berhati-hati ketika menggunakan Internet.

Mengurangkan perbelanjaan boleh membantu meningkatkan tabungan anda. Mulakan berdikit-dikit dan bersabarlah. Berikan masa selama 12 bulan dan lihatlah hasilnya. Ketika itu nanti, anda akan memiliki simpanan yang cukup untuk melabur di pasaran modal!

p/s: copy & paste jek ni..but good tips to financial free person..

Search Engines

Persoalan yang biasa timbul di kalangan sahabat yang telah membina laman web ialah " Bagaimana nak buat supaya laman web kita tersenarai di search engines seperti Google, Yahoo, MSN dan lain-lain ?"

Jika laman web yang dibina tidak tersenarai di search engines, samalah seperti kita menjual keropok yang tersimpan di dalam rumah, tiada siapa yang tahu dan tiada siapa dapat melihatnya.

Di sini saya senaraikan search engines percuma untuk sahabat-sahabat submitkan laman web masing-masing:


1. Google

Home Page - http://www.google.com;

Submission Page: http://www.google.com/addurl/?continue=/addurl



2. Yahoo

Nota: Anda perlu memiliki akaun Yahoo untuk menggunakannya. Anda
menggunakan Yahoo Mail? User ID dan password yang digunakan untuk login
ke Yahoo Mail itulah yang diperlukan.

Home Page - http://www.yahoo.com

Submission Page - https://siteexplorer.search.yahoo.com/submit



3. MSN

Home Page - http://search.msn.com

Submission Page - http://search.msn.com/docs/submit.aspx



4. EntireWeb

Home Page - http://www.entireweb.com/

Submission Page - http://www.entireweb.com/free_submission/



Terdapat beberapa search engines lain yang akan kita temui di internet,
tapi ia berfungsi dengan menggunakan Yahoo ataupun Google; contohnya

Altavista dan All The Web menggunakan Yahoo manakala AOL menggunakan
Google. Jika laman web kita telah tersenarai di Yahoo dan Google, maka
ia akan tersenarai di Altavista, All The Web dan AOL secara automatik.

Sunday, September 14, 2008

Arah Kiblat

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, semakin tinggi teknologi, semakin mudah hidup kita sebagai org Islam..

Mari kita manfaatkan teknologi ini dengan tentukan qiblat kite..

http://www.qiblalocator.com/

sila sebarkan..

thanks..

Friday, May 23, 2008

Duri Dalam Daging

Kawan...
Tak kusangka sejauh itu tindakan yang diambil oleh kau untuk menikam aku dari belakang... Terima Kasih atas surat layang tersebut...